Isnin, 14 September 2009

SEDEKAH KHALIFAH BUTA



SEDEKAH KHALIFAH BUTA BERBUKA PUASA DI PLANET BUMI.
AKU HAMBANYA turun melihat manusia di sekitar kota. Kota itu kota Masjid. Sebuah kawasan luas dan lebar manusia-manusia lain berniaga makanan, pakaian dan pelbagai aksesori untuk menyambut Hari Raya. Aku bersama dia berjalan dan sambil melihat burung layang-layang berbicara, lalat yang mencari makanan berbicara, rama-rama berbicara, pepatung dan semut bekerja berbicara. Mereka ini antara aku lihat, banyak lagi yang belum dilihat kerana sepanjang jalan hanya mata aku sempat berbicara bersama mereka. Seorang Khalifah buta berdiri di sudut depan gerbang besar 14 langkah dari tangga Masjid. Khalifah buta menoleh kiri, hidungnya seolah-olah berbua sesuatu. Ambil jalan kanan, langkahnya mula bergerak 3 langkah. Berhenti dan bertemankan tongkat sakti buta. Manusia-manusia lain berkejaran untuk membeli makanan. Ada manusia memegang bungkusan makanan. Jam 6.45 petang. Aku berdiri melihat dari jauh. 20 langkah aku diam. Sejagat alam turut diam, persekitaran bising suara manusia, penjual makanan untuk umat islam berbuka puasa, manusia lelong barangan hiasan, manusia mempromosikan kuih raya, bayi menangis dan segala bunyi menjadi kaku seminit dalam diri aku berdiri. 1 minit bukan senang untuk berbicara bersama alam. 1 minit boleh berubah masa depan, 1 minit boleh memecah nafsu, 1 minit boleh melihat kelahiran dan kematian. Namun, di dalam khalifah buta 1 minit amat beharga baginya. Setapak-tapak dia ingin sampai ke satu destinasi. Aku memendam rasa, aku menitik jiwa, aku berbuka bicara walaupun aku bukan islam yang sudi untuk berbicara. Aku hanya bertemankan dia dalam diri aku sebelah dunia. Sebelah dunia dalam seminit bagiku, bagi khalifah buta, bagi alam sejagat ini amat luas sehingga doa-doa dunia sempat untuk di dengar dari jauh berbeza waktu dan negara. Aku kaku seminit mengungkai masa khalifah buta, manusia lapar dan aku di dalam aku sebelah dunia.
"Mereka semua khalifah buta, tidak ada yang sudi menerangkan cahaya...
...mereka semua tidak layak berpuasa, aku melakar ayat-ayat suci setiap tapak kaki mereka melangkah, di depan kamu khalifah buta. Tunaikan hasrat dia, izinkan aku pulang". Aku hadir ketika 1 minit tidak bersuara.
Setelah seminit, dia berjalan memapah khalifah buta.
"Pakcik nak ke mana?"
"Cucu, Pakcik nak berbuka puasa di hujung kedai makan sebelah kedai bunga."
"Baiklah Pakcik, saya papah pakcik hingga sampai di kedai makan".
"Cucu ni, bukan islam kan?" , aku diam tanpa bersuara. Ingin menukar perbualan sambil memapah.
"Pakcik kerap datang ke sini buka puasa?"
"Cucu, pakcik tahu. Lagipun cucu ni tidak seperti mereka, cucu ni lebih baik dari mereka, terima kasih sangat ya". Menoleh padaku.
"Sama-sama".
Dalam perjalanan ke kedai makan, setelah kata-kata bicara 'sama-sama' maka pakcik itu diam. Sepatah dua pun tidak bersuara. Apa yang aku lihat, Khalifah buta ini menoleh padaku ketika dia berbicara. Aku terimbas setiap kata-katanya setiap langkah aku ingin melangkah menuju destinasi masa depan dalam beberapa minit lagi. Dalam beberapa minit lagi, apa-apa kemungkinan boleh berlaku. Dalam suara seorang khalifah buta, aku rasa hairan bagaimana dia tahu sekitar lingkaran cahaya aku. Setiba tempat kedai makan, khalifah buta menyuruh aku memilih lauk makanan. Katanya harga tidak perlu kira, kirakan lauk paling mesra dalam jiwa. Katanya lagi, tidak salah memilih lauk kerana hidup ini bukan laut yang luas. Hanya kita sahaja yang berbuka puasa, tidak perlu megah bersama sampan mewah. Di saat itu aku amat gentar dan was-was kehadiran khalifah buta ini. Adakah aku sedang diuji atau benarnya khalifah buta ini sengaja ingin mempermainkan aku manusia yang tidak buta. Aku memilih nasi tambah, ikan bilis, sayur kubis mentah, dan kuah campur. Kemudian, hulurnya RM2 untuk penjual. Disebabkan dia memegang tongkat sakti, aku memapahnya duduk. Kemudian aku menghidangkan makanan itu di depannya. Katanya, inilah lauk paling mesra untuk berbuka puasa. Katanya, harus ingat cucu tidak perlu jadi seperti mereka. Jadilah sepertimana yang ada sekarang, usah nak fikir pajang, usah nak bimbang, usah nak ragu-ragu dalam diri. Jawapannya sudah ada di depan mata.
Mata yang dilontarkannya membuatkan aku terasa sesuatu, seolah-olah ia pernah dilakarkan sebelum ini. Pernah ia hadir dan berbicara dalam diam namun aku hanya simpan di selaput mata paling nipis bertujuan menghalau anasir iblis.
BARANGKALI MANUSIA MASA DEPAN SENANTIASA MENGUJI MANUSIA KINI INGIN MELIHAT SEJAUH MANA PEMIKIRAN MANUSIA KINI SEBELUM BERSEDIA BERHIJRAH KE PLANET KE-11.
Kemudian aku melihat di seberang kedai, kedai bunga. Jam masih belum berbuka puasa. Aku tertarik dengan bunga-bunga mawar, dan kekwa dan warna-warninya. Kemudian, Khalifah buta berkata, pergilah laksanakan kerja-kerja yang belum laksana lagi. Setiap mata ada penjurunya, tapi mata cucu istimewa.
"Cucu harus ingat, bila masanya untuk lihat maka lihatlah bersama doa walaupun berlainan agama, pergilah laksanakan perkara cucu ni, terima kasih". Khalifah pengemis buta memberi salam tangan dan cium tangan aku. Aku seolah-olah ingin menitik air mata.
Aku beredar dari kawasan kedai makan itu dan singgah di kedai bunga. Penjual bunga india.
Aku memilih-milih satu per satu. Amat teliti memilih. Sekuntum mawar beharga RM2, kekwa RM1.20sen. Aku membeli mawar merah, dan kekwa kuning. semuanya RM3.20sen. Kata penjual bunga itu,
"Adik, adik tengok apa pada bunga itu? lama pula memilih". Sambil senyum dan menyulam bunga melur dalam benang.
"Saya pilih bunga yang bunga ni nak kan saya".
"Macam mana?"
"Bunga ni bercakap dalam hati dengan saya".
Sejurus itu, penjual bunga itu memberi saya kelopak bunga secara percuma. Sebungkus kelopak mawar pelbagai warna, dan orkid.
Setapak aku melangkah keluar kedai bunga, aku menoleh belakang. Penjual bunga, makcik berbangsa india sujud bunga itu pada dahinya sambil memandang aku. Aku terus berjalan dan ingin melihat Khalifah buta yang sedang menunggu masa berbuka puasa. Ramai yang sedang berpusu-pusu menunggu makakan mewah, membeli makanan.
Setiba di kedai makan, seorang abang berbangsa melayu, beralaskan tuala di bahu kiri mengelap meja makan yang diduduk oleh aku dan Khalifah buta itu. Mengangkat makanan yang dihidangkan aku, masih tidak sentuh makanan itu, Nasi tambah masih dapat lihat , ikan bilis masih dapat dilihat, segera abang itu mengalihkan pinggan itu kemudian buang makanan itu ke dalam tong sampah. Aku melihat semua perkara ini dengan tangisan buta. Melihat manusia sekitar sambil berbicara dalam diam. Azan bermula, manusia-manusia tidak lagi sabar dan terus jamah makanan sedangkan azan masih tidak selesai di dengar. Satu per satu dimasukkan dalam mulut, bayi di tepi tidur di atas katil rodanya bertemankan tilam busuk sedangkan manusia lain makan tidak berhenti.
Aku mula mencari-cari bayangan Khalifah Buta itu, namun tak kucari. Ingin bertanya kepada abang yang mengemas meja tapi tak kesampaian untuk bertanya, barangkali manusia seperti abang itu tidak berkesempatan untuk melihat seorang Khalifah Buta, hanya mata abang itu menjolok pada Si Gadis bertudung ayu, senyuman gedik bising sekumpulan gadis Melayu di sebuah meja sedang berbuka puasa.Abang itu berbuka puasa dengan sebatang rokok, Pall Mall. Kotak Pall Mall diletakkannya atas meja kira-kira wang. Dia tidak sempat melihat Khalifah Buta, sedangkan aku terlepas pandang khalifah buta dan entah mana hilang berbicara dalam diam hanya aku dapat bersuara. Di sini aku mula melihat sesuatu di mana ada manusia-manusia islam berpuluh-puluh, beratus yang berpusu-pusu membeli makanan untuk berbuka puasa, dalam satu manusia itu bukan islam, dalam satu manusia itu islam Khalifah Buta sukar mereka mendekati kerana tidak sabar makanan itu habis direbut manusia lapar sejurus mengembangkan satu refleks kemanusiaan dan ketuhanan manusia berbeza agama lalu menfokuskan pada satu yang lebih terperinci dan bukan menilai melalui pendekatan fizikal atau membandingkan lingkaran manusia melalui keupayaan seharian. Mereka yang berpusu-pusu, seorang dua yang sanggup menggesek badan khalifah buta hinggakan arah tidak menentu dan tidak menoleh meminta maaf lantas terus ego berjalan pemuda islam berambut ekor jingga, dan di situlah mencerminkan siapa yang tidak menentu arah dalam hidup. Aku dan dia berbicara, aku wujud bila aku memerlukan dia untuk mereka seperti khalifah buta.
"Aku sudahi kata-kata atas melalui hidup dia bersama aku, restuNya dalam hidup kita berdua amat bahagia dirahmati. Semoga terus diberkati dan kepada Khalifah Buta yang hadir dalam apa jua medium, inilah laksanaku kepada mereka yang buta. Moga mereka akan pulang padaNya". 3.14pagi, Selasa -Bullafidah Berbicara- Suasana manusia melihat mimpi, melelap mata. Dia menemani aku seminit sebelum tenang.

0 ulasan: